Seni Landskap Persekitaran ( Landscaping )
Rajah 1 : Taman mini sekolah
Apakah maksud seni landskap persekitaran?
Adalah proses merancang dan menyusun atur persekitaran luaran rumah/bangunan agar pemandangan kelihatan cantik ,indah dan menarik dan juga agar memenuhi keperluan kesejahteraan hidup .
Selain dari menyusun atur tumbuh -tumbuhan dan benda buatan manusia seperti gazebo, lampu- lampu jalan dan sebagainya agar persekitaran kelihatan menarik dan memenuhi nilai kesejahteraan , fungsi seni reka landskap juga bertujuan untuk memastikan kesegaran udara persekitaran. Dengan adanya tumbuh- tumbuhan di persekitaran , pengudaraan dapat dibersihkan melalui proses kitaran semula oleh tumbuh -tumbuhan dengan proses fotosentisis. Pengudaraan menjadi sejuk apabila tumbuh- tumbuhan memberi perlindungan dari cahaya terik matahari dan selain dari itu fungsi dalam menyusun atur landskap persekitran juga merangkumi kemudahan tempat berehat, panduan arah jalan dengan susunan pokok -pokok renek.
Seorang pereka landskap persekitaran akan melalui beberapa proses berikut dalam membina rekabentuk persekitaran yang dikehendaki iaitu :
a) merancang pelan rekabentuk landskap
b) membuat kajian bentuk muka bumi dan tanah – tanih persekitaran dan saiz keluasan
b) melukis pelan landskap iaitu pelan buih dan pelan induk
c) menentukan jenis benda buatan manusia (landskap kejur) dan tumbuh- tumbuhan (landskap lembut) dalam rekabentuk landskap
d) membina model landskap
Elemen digunakan dalam hiasan landskap persekitaran dibahagikan kepada dua iaitu landskap kejur dan landskap lembut. Landskap kejur terdiri daripada benda- benda buatan manusia seperti tempat pejalan kaki, kerusi, arca, gazebo, pagola, lampu- lampu jalan dan sebagainya. Manakala landskap lembut adalah merupakan elemen dari alam semulajadi seperti sungai, pokok- pokok, tumbuh- tumbuhan dan sebagainya.
Rajah 2 : Contoh Pelan Induk
Apakah maksud Pelan Landskap ?
Rajah imej di atas adalah merupakan grafik pelan induk yang boleh dihasilkan secara lukisan, catan atau cetakan komputer. Pelan landskap merupakan grafik dalam bentuk persembahan dua dimensi (2D) di atas permukaan rata (misalnya kertas ). Pelan induk mengandungi simbol - simbol sebagai petunjuk atau rujukan kedudukan pokok- pokok, tumbuh- tumbuhan, bangunan, lampu- lampu, pagola, gazebo dan sebagainya apabila seorang pereka landskap mahu melaksanakan gubahan pada tapak suatu tempat yang telah dipilih.
Rajah 3: Model Landskap Persekitaran
Apakah model landskap persekitaran ?
Seperti imej yang di atas, model landskap persekitaran adalah suatu binaan yang menggunakan bahan- bahan tertentu seperti kertas ,gam, tanah liat, kayu, bahan terpakai dan sebagainya di atas tapak yang menggambarkan keadaan sebenar rekabentuk landskap dalam saiz yang kecil sebagai panduan kepada pereka landskap dan audien yang terlibat dalam gubahan landskap. Model landskap ini mengandungi binaan model kecil dari bentuk sebenar unsur- unsur (seperti kolam, gazebo, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya) yang terdapat pada landskap persekitaran sebenar.
Kesimpulannya , seni rekabentuk landskap persekitaran adalah merupakan satu proses membina dan menyusun atur tumbuh- tumbuhan dan benda pada permukaan persekitaran agar kelihatan indah, segar ,dan sihat.
Rajah 4 : Landskap taman mini di hadapan bangunan
Ringkasnya , Seni Rekabentuk Landskap Persekitaran adalah proses dengan keupayaan, kebolehan menyusun atur persekitaran luaran seperti taman- taman dengan memilih tumbuh- tumbuhan dan juga benda buatan manusia seperti arca ,kerusi ,lampu dan tapak pejalan kaki agar suasana persekitaran itu tampak menarik, indah dipandang dan memenuhi keperluan kita dari sudut kesihatan mental, perasaan dan tempat beriadah misalnya.
Elemen tumbuh -tumbuhan ( Landskap lembut ) dalam landskap persekitaran
Peranan tumbuh- tumbuhan dalam menyusun atur taman- taman di antaranya adalah memberi teduhan daripada sinaran matahari dan cahaya, mengawal tiupan angin, mengawal bunyi bising dan sebagai tirai atau dinding untuk melindungi tempat- tempat yang tidak mahu dilihat oleh orang.
Selain dari itu , peranan tumbuh -tumbuhan juga membentuk ruang persekitaran sebagai sempadan kepada taman atau kawasan tersebut. Tumbuh -tumbuhan juga boleh dijadikan penunjuk arah jalan dengan menyusun pokok- pokok renek misalnya pada batas -batas di setiap tempat pejalan kaki. Tumbuh- tumbuhan juga berperanan mengawal hakisan tanah dengan meletakkan tumbuh- tumbuhan yang menjalar ditanam pada tempat itu, dengan penanaman tumbuh- tumbuhan sebagai hiasan dalam seni reka landskap persekitaran ,ia juga dapat memelihara spesis tumbuh- tumbuhan tersebut dari pupus. Tumbuh- tumbuhan boleh berfungsi sebagai agen pembersih udara kepada persekitaran, yang mana kehijauan tumbuh- tumbuhan dapat membekalkan oksigen dengan menyerap karbon oksida yang dihasilkan oleh kenderaan, pembakaran dan sebagainya.
Tumbuh- tumbuhan akan dipilih mengikut jenis bergantung kepada fungsinya. Berikut adalah beberapa nama dan jenis tumbuh- tumbuhan yang sering dipilih sebagai penghias taman, tempat- tempat dan kawasan persekitaran ;
a. Tumbuhan tutup bumi seperti Kemunting/Ros Pantai Cina (Periwinkle Creeper), Ceraka biru (Plumbago), Ros Jepun (Rose Moss) . Tumbuhan ini sesuai ditanam di tepi tempat pejalan kaki membantu menunjuk arah, ianya boleh berperanan sebagai “mengikat” tanah dari hakisan biasanya di kaki bukit.
b. Tumbuhan Memanjat dan melilit seperti Bunga Corong(Allamanda), Bunga Akar Dani (Rangoon Creeper), Congea (Shower Orchid). Tumbuhan ini biasanya akan disokong dengan unsur landskap kejur seperti pagola untuk membolehkannya menjalar ke atas. Tumbuh - tumbuhan ini boleh berperanan sebagai tirai ditepi bangunan untuk menutup tempat -tempat yang tidak mahu dilihat.
c. Pokok Renek seperti Bunga Jejarum, Bunga Lidah, Bunga Tahi Ayam (Lantana), Bunga Raya ((Hibiscus), Oleander (Nerium) dan Janda Kaya (Mussaenda)
d. Pokok Palma seperti Pinang Rapis (Lady Palm), Palma Macarthur,Palma Raya (Majestic Palm) dan Pokok Serdang (Chinese Fan Palm)
e. Pokok- pokok kecil seperti Pokok Kemboja (Frangipani), Pokok Jambul Merak (Jacaranda)
f. Pokok- pokok sederhana seperti Kiara Payunh (Fern Tree) , Pokok Sempilau (Nobile Ru), Pokok Payung (Ivy palm) dan Pokok Semarak Api (Flame of the forest)
g. Pokok -pokok besar seperti Pokok Akasia Kuning (Wattle), Pokok Cempaka Putih (Manglit), Pokok Ketapang (Sea Almond) dan Pokok Sena (Angsana).
Pokok - pokok seperti Akasia , Sena , Palma biasanya disusun untuk menghadang terik panas matahari selain dari itu pokok -pokok besar dan kecil sekiranya disusun rapat boleh menapis udara dan mengurangkan bunyi bising dari kenderaan - kenderaan yang lalu dan sesak.
Pemilihan tumbuh- tumbuhan ini juga mengambil kira keadaan muka bumi permukaan tanah, jenis bentuk muka bumi, fungsi tumbuh- tumbuhan itu dipilih dan juga kos penjagaannya. Kesimpulannya untuk menjadikan sebuah kawasan dan taman dengan pandangan yang menarik, seorang pereka landskap perlu memilih tumbuh- tumbuhan untuk dijadikan hiasan dengan fungsi seperti yang anda telah baca tadi.
Elemen bentuk buatan manusia ( Landskap Kejur ) di dalam rekabentuk landskap persekitaran
Elemen bentuk buatan manusia atau kumpulan landskap kejur terdiri daripada bentuk- bentuk seperti kerusi rehat , batu- batuan atau mosaic sebagai tempat pejalan kaki , lampu- lampu limpah, lampu pancar atau sorot yang ditempatkan ditepi taman atau jalan, gazebo, pagola yang menghiasi persekitaran taman. Patung- patung atau arca sering dijadikan elemen dalam landskap persekitaran yang berkonsepkan suasana di Bali.
Elemen kolam buatan atau pancuran air yang menampakkan ciri- ciri oasis di Timur Tengah menggambarkan konsep rekabentuk landskap yang Islamik.
Apakah itu konsep rekabentuk landskap?
Sebelum anda keluar rumah , anda akan memikirkan pakaian apakah yang mahu dipakai sesuai dengan aktiviti yang akan anda hadiri atau kunjungi. Sama ada mahu bersukan , ke majlis hari jadi , mengunjungi kenalan semasa hari perayaan atau menonton wayang. Anda akan memikirkan apakah tema pakaian yang hendak digunakan, misalnya bertemakan ‘casual’ untuk menonton wayang, ala – Punjabi untuk berkunjung ke rumah rakan , ala -ala ‘cowboy’ untuk ke majlis hari jadi atau berjersi yang berlambang kelab ‘Manchester City’ untuk menonton perlawanan bolasepak dan sebagainya.
Seorang pereka landskap juga akan mengambil kira apakah konsep yang mahu digubah misalnya pada sebuah kawasan yang mahu dijadikan sebuah taman atau pada halaman di hadapan rumah. Antara konsep yang biasa dalam rekabentuk landskap sebuah taman ialah konsep Islamik , konsep Bali , konsep Inggeris , konsep Melayu dan konsep Jepun.
i. Konsep taman Islamik mempunyai ciri -ciri adanya air atau pancuran air , pokok -pokok yang harum , wangi , tirus seperti palma .
ii. Konsep taman Bali adalah adaptasi dari kebudayaan Hindu lama biasanya terdapat batu -batuan , batu yang berukir , patung selain dari tumbuh -tumbuhan alam semulajadi.
iii. Konsep taman jepun mudah dikenali dengan adanya jambatan merentasi kolam dengan binaan gazebo seperti binaan zaman Jepun lama (feudal) dengan pokok -pokok yang berwarna warni.
iv. Konsep taman melayu lebih menitik beratkan gazebo atau tempat istirehat yang diperbuat dari kayu dengan pokok -pokok bunga.
v. Konsep inggeris dapat dikenalpasti dengan struktur seperti meja dan kerusi diluar adalah dari bahan konkrit dan kukuh, pagola, binaan gothic pada abad ke – 18, Kawasan luas berumput dengan pokok bunga -bungaan.
Apakah perancangan dalam membina sebuah taman ?
Seorang pereka landskap perlu mengkaji tapak atau kawasan yang hendak dijadikan sebuah taman, menentukan jenis tumbuh -tumbuhan dan landskap keras ( kejur ) , membuat anggaran kos dan menghasilkan pelan landskap.
Rajah 5 : Contoh Pelan Buih
Pelan landskap terbahagi kepada dua iaitu pelan rajah buih dan pelan induk. Pelan rajah buih merupakan lakaran kasar yang mempunyai lukisan rupa bujur di atas kertas dengan nama -nama tempat padanya. Manakala pelan induk merupakan lukisan yang mempunyai simbol -smbol tertentu yang mewakili banguna, tumbuh- tumbuhan ,tempat pejalan kaki dan sebagainya. Pelan landskap sangat penting sebagai bahan rujukan dan panduan dalam merekabentuk sebuah landskap persekitaran misalnya Menyusun atur sebuah taman.
Rajah 6 : Simbol landskap lembut
Rajah 6 adalah simbol- simbol yang mewakili tumbuh -tumbuhan dan landskap keras ( kejur ) seperti kerusi , meja , kolam , tempat pejalan kaki dan sebagainya yang terdapat pada pelan induk. Pelan rajah buih akan dibuat terlebih dahulu sebelum menghasilkan pelan induk ( pelan utama ) , pelan induk perlu di warnakan bagi menjelaskan gambaran rekabentuk landskap yang hendak dibina.
No comments:
Post a Comment